Oleh: NIK NUR SALSHADILLA SABRINA BINTI MAHADI
CABARAN-CABARAN PELAKSANAAN AKTA PENDIDIKAN 1996
Sebelum tahun 1996, undang-undang Pendidikan di Malaysia adalah tertakluk kepada terma dan syarat yang didapati dalam Akta Pelajaran 1961. Prinsip umum Akta Pelajaran 1961 adalah selaras dengan Ordinan Pelajaran 1957 dimana akta tersebut digunakan untuk menyediakan perkhidmatan Pendidikan yang cekap. Pada masa yang sama, pertimbangan juga diberi kepada kehendak ibu bapa semasa akta tersebut dilaksanakan dengan berkesan. Menjelang abad ke-21, era digital dan teknologi matlumat telah berkembang pesat dan meluas dengan menyaksikan bidang tumpuan utama Pendidikan perlu diselaraskan kepada teknologi dan orientasi pengeluaran serta pasaran. Oleh itu, terhasilnya Akta Pendidikan 1996 yang juga dikenali sebagai Akta 550. Matlamatnya ialah untuk membantu mewujudkan satu sistem pendidikan negara yang baru dan boleh menghadapi cabaran baru dan boleh menghadapi cabaran alaf baru. Namun begitu, terdapat beberapa cabaran dalam pelaksanaan Akta Pendidikan 1996.
Antara cabaran pelaksanaan Akta Pendidikan 1996 ialah cabaran pengurusan sumber manusia. Hal ini dikatakan demikian kerana berlakunya isu ketidakseimbangan jantina dalam pencapaian akademik. Sebagai contoh, kita dapat saksikan bahawa kemasukan pelajaran perempuan ke IPT lebih ramai berbanding lelaki. Kesannya, pelajar perempuan di IPT lebih dominan berbanding lelaki. Keadaan ini menyebabkan sumber manusia bagi kaum lelaki semakin berkurang. Selain itu, tekanan belajar atau stress daripada belia dalam belajar menjadi isu utama. Tekanan yang dihadapi tidak mampu ditanggung menyebabkan mereka mengalah dalam pembelajaran dan yang lebih teruk sehingga ke tahap membunuh diri akibat tekanan dan stress. Oleh itu, langkah yang boleh diambil untuk mengatasi cabaran pengurusan sumber ini ialah kerajaan seharusnya menyemak semula kurikulum kearah lebih mencabar keupayaan pelajar lelaki untuk menggalakkan kemasukan golongan lelaki di IPT seiring dengan golongan perempuan.
Seterusnya, perubahan minda rakyat Malaysia juga merupakan antara cabaran pelaksanaan Akta Pendidikan 1996. Hal ini disebabkan oleh rakyat masih mengharapkan pendidikan sebagai alat untuk mendapatkan pekerjaan dan jawatan. Namun begitu, pendidikan masih tidak dapat mengeluarkan graduan berdikari yang mencipta peluang pekerjaan. Sedangkan kini graduan dihinggapi penyakit "diploma desease" iaitu pengangguran dalam kalangan graduan yang masih tinggi iaitu sekitar 204,000 orang. Kes jenayah dan masalah sosial juga kian meningkat akibat lambakan pengangguran ini. Oleh itu, penekanan dalam aspek pembinaan insan melalui penerapan nilai murni dan pemahaman konsep keagamaan dalam diri generasi muda supaya mencapai matlamat adalah langkah yang boleh diambil oleh pihak kerajaan untuk mengatasi cabaran dalam pelaksaan Akta Pendidikan 1996.
Selain itu, antara cabaran yang dihadapi oleh kerajaan dalam melaksanakan Akta Pendidikan 1996 di Malaysia ialah cabaran sumber kewangan. Walaupun pendidikan penerima terbesar peruntukan terbesar (18-22%) setiap tahun namun masih kecil untuk menjadikan pendidikan maju dan kondusif. Hal ini dikatakan demikian kerana prasarana pendidikan di Malaysia tidak mampu menanggung jumlah pelajar yang ramai. Sebagai contoh, saiz murid per kelas masih besar iaitu sekitar 30-40 orang menyebabkan prasarana dan teknologi pembelajaran tidak mencukupi. Oleh itu, kerajaan perlu menyediakan peruntukan yang lebih besar dalam belanjawan tahunan supaya cabaran sumber kewangan bagi pendidikan dapat diatasi.
Di samping itu, Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar juga merupakan antara cabaran dalam melaksanakan Akta Pendidikan 1996. Hal ini disebabkan oleh Bahasa Melayu masih tidak dimartabatkan dalam pendidikan sebagai bahasa pengantar utama disemua insitutsi Pendidikan di Malaysia. Bahasa Melayu juga tidak dijadikan bahasa rasmi dalam urusan pentadbiran sedangkan Bahasa Melayu merupakan bahasa Kebangsaan di Malaysia yang seharusnya dikuasai dan digunakan dalam urusan seharian serta urusan rasmi negara. Oleh hal demikian, kerajaan hendaklah menguatkuasakan undang-undang supaya individu yang menjatuhkan martabat Bahasa Melayu akan menerima hukuman dan denda yang sewajarnya. Pihak kerajaan juga hendaklah mewajibkan semua rakyat Malaysia merujuk DBP dalam urusan menentukan istilah yang tepat agar Bahasa Melayu dapat dimartbatkan sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa pengantar di Malaysia.
Seterusnya, cabaran dari segi isu perpaduan kaum. Kita telah sedia maklum bahawa salah satu tujuan Akta Pendidikan adalah untuk penyatuan kaum melalui Pendidikan. Namun begitu, masih wujud tanda-tanda kelemahan dalam hubungan antara kaum kerana pengekalan identity kaum masing-masing seperti bahasa, budaya, ekonomi dan politik. Kesannya, berlaku ketidaksamarataan antara sesebuah kaum tersebut lalu menyebabkan perpaduan sukar dipupuk. Oleh itu, langkah yang boleh diambil bagi mengatasi cabaran isu perpaduan kau mini adalah dengan memperkenalkan kurikulum keinsanan yang dapat memberi kesedaran kepada semua individu tentang isu perkauman dan perpaduan. Selain itu, sistem pendidikam seharusnya menerapkan mata pelajaran pelbagai budaya agar ianya tidak asing bagi mana-mana kaum dan seterusnya menghapuskan monopoli sesuatu kaum.
Cabaran yang terakhir dalam pelaksanaan Akta Pendidikan 1996 di Malaysia ialah cabaran menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan bertaraf dunia. Hal ini demikian kerana Malaysia masih tercari-cari formula untuk meningkatkan kedudukan dalam TIMSS, PISA, dan ranking universiti. Oleh itu, kerajaan masih lagi menghantar pelajar-pelajar keluar negara bagi mendapatkan ilmu di negara yang hebat dari segi pendidikan supaya ilmu yang dipelajari tersebut dapat diadaptasi ke dalam sistem Pendidikan di Malaysia. Selain itu, Malaysia gagal menarik pelajar cemerlang dari negara maju untuk belajar di Malaysia bagi tujuan pertukaran idea dari aspek pendidikan. Oleh itu, Malaysia kini cuba melihat negara maju sebagai acuan untuk membangunkan pendidikan negara. Dengan itu, kerajaan mestilah menyemak dan menggubal kurikulum atau program Pendidikan yang dijalankan. Seterusnya kerajaan hendaklah memaksimumkan kepakaran rakyat Malaysia ke dalam bidang Pendidikan dengan paksikan kepada keunikan masyarakat dan ekonomi negara Malaysia.
Kesimpulannya, terdapat beberapa cabaran dalam pelaksanaan Akta Pendidikan 1996 di Malaysia namun ianya bukanlah pengahalang bagi Akta Pendidikan 1996 untuk terus dilaksanakan demi mencapai matlamatnya. Bagi merealisasikan akta pendidikan ini, tindakan kerajaan adalah amat penting untuk mengatasi cabaran yang dihadapi oleh Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia, kita semua perlulah berganding bahu dalam memastikan Akta Pendidikan 1996 dapat dilaksanakan dengan sempurna. Oleh itu, saya amat yakin dan percaya bahawa Akta Pendidikan 1996 akan berjaya menemui visi dan misinya mengikut yang dirancang.
No comments:
Post a Comment