Tuesday, 21 December 2021

 Oleh: NURUL NAJIHAH BINTI JEFRI

Fungsi Akta Pendidikan 1996 dan Kesesuaian Pendidikan Abad-21


Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada anda semua
                                                                                                                                        

Apa itu Akta Pendidikan 1996? Sejak bila pula ditubuhkan? Apa pula fungsi akta ini?

Sama ke dengan Akta Pendidikan yang lain?

 Ayuh, kita telusurinya dengan lebih lanjut.

 

AKTA PENDIDIKAN 1996

Ø  Telah berkuatkuasa mulai 31 Disember 1997

Ø  Untuk memperluas skop dan memperkenalkan perundangan mengenai pendidikan

Ø  Mengekalkan peruntukan yang masih relevan daripada akta pelajaran 1961

Ø  Untuk memantapkan sistem pendidikan kebangsaan

Ø  Lanjutan dan pembaharuan daripada Akta Pelajaran 1991

Ø  Untuk mengadakan peruntukan bagi pendidikan dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya

Ø  Menampilkan kesinambungan daripada hasrat dan dasar pendidikan yang sedia ada

Ø  Berpaksikan kepada perakuan-perakuan utama Penyata Razak

 

Akta Pendidikan 1996 ialah pembaharuan daripada Akta Pelajaran 1961. Akta Pendidikan 1996 ini bertujuan untuk memantapkan sistem Pendidikan Kebangsaan untuk generasi akan datang. Hal ini sangat relevan dan sejajar dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan yang bermutu tinggi, bertaraf dunia dan mampu bersaing. Akta ini juga merupakan salah satu perundangan yang baru tetapi Akta pendidikan ini menunjukkan kesinambungan kepada dasar pendidikan yang telah tersedia ada. Akta pendidikan 1996 ini juga berpandukan kepada perakuan-perakuan utama Penyata Razak 1956 yang telah menjadi asas terhadap dasar Pendidikan Kebangsaan selama ini. Akta ini juga sedikit sebanyak mengekalkan peruntukan yang masih sesuai digunakan daripada Akta Pelajar 1961. Penggubalan undang-undang (Akta Pendidikan 1996) bertujuan untuk memperluas skop dan memperkenalkan perundangan mengenai pendidikan. Oleh hal yang demikian Akta ini memperkenalkan banyak peruntukan perundangan baru untuk menangani cabaran-cabaran pendidikan abad ke 21 dalam memenuhi hasrat wawasan 2020 dan mengambil kira aspirasi semua kaum di Malaysia yang tidak mengira bangsa, keturunan, dan agama. Persoalannya apakah fungsi Akta Pendidikan 1996 dan kesesuaian pendidikan abad ke-21?

Menekankan penggunaan sains dan teknologi dalam pendidikan merupakan fungsi Akta Pendidikan 1996. Hal ini dikatakan demikian kerana penggunaan ICT sejajar dengan pendidikan pada abad ke-21. Penggunaan ICT dikatakan sangat membantu kalangan pelajar mahupun guru. Seperti mana yang kita sedia maklum bahawa dunia sekarang sangat bergantung terhadap penggunaan ICT untuk mempercepatkan segala urusan, memudahkan komunikasi dan mencari segala maklumat yang diinginkan. Jadi, hal ini sangat bersesuaian dalam bidang pendidikan sekarang yang memerlukan untuk diselaraskan kepada teknologi. Tambahan pula penekanan ini juga merupakan suatu strategi pendidikan negara yang baru dikehendaki untuuk melengkapkan individu dengan pengetahuan. Apabila seseorang individu itu terbiasa dengan kemahiran menggunakan ICT maka dapat melengkapkan diri dengan kemahiran menghadapi cabaran baru seperti lebuh raya maklumat, pengaruh ruang siber, penyalahgunaan internet dan sebagainya. Selain itu, sejajar dengan penumpuan terhadap usaha membudayakan Pendidikan sains dan teknologi, Pendidikan Teknik akan ditingkatkan di sekolah menengah Teknik dan Politeknik. Oleh itu, Akta Pendidikan 1996 memudahkan sekolah vokasional ditukar taraf kepada sekolah Teknik, manakala politeknik boleh mengadakan program kerjasama dengan mana-mana institusi, perbadanan atau organisasi perindustrian untuk mengendalika kursus Teknik, Vokasional atau program latihan termasuk program pertukangan. Jelaslah bahawa matlmatnya ialah membantu mewujudkan satu sistem pendidikan negara yang baru dan boleh menghadapi pendidikan alaf baru yang dapat berubah ke arah yang lebih progresif.

Selain itu, memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan merupakan fungsi Akta Pendidikan 1996. Hal ini dikatakan demikian kerana kedudukan bahasa Melayu diperkukuhkan dengan peruntukannya sebagai Bahasa Pengantar utama dalam sistem Pendidikan Kebangsaan dan mata pelajaran teras. Bahasa Melayu juga telah menjadi mata pelajaran yang wajib lulus dalam mana-mana peperiksaan sekarang ini terutamanya dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Perkara ini juga sesuai dengan Pendidikan abad ke-21 kerana bahasa Kebangsaan iaitu bahasa Melayu digunakan di setiap sekolah dan dijadikan sebagai bahasa pengantar sebagai contoh semua sekolah kebangsaan di Malaysia menggunakan bahasa pengantar dengan sekolah-sekolah yang lain. Istimewanya pula ialah setiap sekolah mewajibkan bahasa Melayu sebagai mata pelajaran wajib diajar di semua sekolah dan institusi Pendidikan di Malaysia. Hal ini bertujuan agar pelajar Malaysia yang berbilang kaum dapat menguasai bahasa Melayu dan boleh bertutur dalam bahasa Melayu yang jelas dan tepat serta difahami ramai. Walau bagaimanapun Seksyen 17 (2) juga telah memperuntukkan bahasa Kebangsaan ini menjadi sebagai mata pelajaran wajib bagi setiap sekolah di Malaysia. Jelaslah bahawa Akta Pendidikan 1996 mengekalkan mutu dan keistimewaan penggunaan bahasa Melayu dan menyelaraskannya dalam pendidikan abad ke-21.

            Seterusnya, Akta Pendidikan 1996 juga berfungsi dalam mengadakan kurikulum kebangsaan dan sistem peperiksaan yang sama. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam Seksyen 18, Kurikulum semua jenis dan kategori sekolah akan selaras dengan kehendak negara apabila kurikulum kebangsaan yang diperuntukkan dalam  Akta Pendidikan 1996 ini wajib digunakan oleh semua pihak. Sebagai contohnya ialah murid-murid dari semua jenis dan kategori sekolah akan disediakan untuk mengambil peperiksaan yang ditetapkan oleh kerajaan dan hal ini akan memudahkan kita menggunakan penilaian atau pengukuran yang sama tentang pencapaian murid-murid dari semua sekolah di negara kita. Perkara ini juga secara tak langsung dapat mengelakkan daripada penilaian terhadap murid yang tidak adil dalam peperiksaan yang penting seperti peperiksaan SPM dan dari sinilah kita dapat menilai gred dalam sesebuah sekolah itu. Tambahan pula dapat menimbulkan semangat persaingan yang baik dalam seluruh sekolah di Malaysia dan akan menjadikan sesebuah sekolah itu akan cuba meningkatkan prestasi dan keupayaan dalam mencapai kejayaan yang maksimum. Jelaslah bahawa Akta Pendidikan 1996 ini sangat relevan dengan pendidikan abad 21 yang dimana peperiksaan itu perlu adil dan perlu diselaraskan untuk meningkatkan persaingan yang hebat dalam bidang pendidikan.

Akhir sekali, Akta Pendidikan 1996 juga berfungsi dalam menyatupadukan perpaduan kaum di Malaysia. Hal ini kerana Pendidikan di Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum iaitu kaum Melayu, Cina dan India. Perkara ini sejajar dengan abad ke 21 iaitu dimana tujuan utama Akta Pendidikan 1996 adalah untuk menyatupadukan kaum melalui pendidikan. Sebagai contohnya Akta ini telah memperkenalkan kokurikulum keinsanan, menerapkan mata pelajaran yang melibatkan pelbagai budaya di semua sekolah dan menghapuskan monopoli sesuatu kaum. Seterusnya Akta ini menyadari bahawa Malaysia ada sebuah negara yang berbilang kaum dan Akta Pendidikan 1996 ini juga telah mengambil kira kepentingan semua kaum dengan cara mengekalkan status quo sekolah rendah dan juga 60 buah sekolah menengah. Hal ini bermaksud setiap warganegara Malaysia berhak mendapat peluang pendidikan yang adil dan sama rata iaitu tanpa mengira kaum dan budaya. Tambahan pula peluang untuk belajar juga diberikan kepada semua golongan rakyat tanpa mengira latar belakang sama ada mereka kaum Melayu ataupun tidak. Walau bagaimanapun terdapat juga sekolah jenis cina dan sekolah jenis tamil yang menerima pelajar yang berkaum Melayu untuk mendapatkan pendidikan di sekolah mereka. Jelaslah bahawa fungsi Akta Pendidikan 1996 ini relevan dan sesuai dengan pendidikan atau pembelajaran abad 21 yang menginginkan semua rakyat perlu bersatu padu dalam pendidikan mahupun di luar bidang berkenaan agar sama-sama dapat menjalinkan hubungan yang erat dan sekali gus mengelakkan daripada bersifat rasis.

Kesimpulannya, kemajuan sesebuah negara bergantung kepada sistem Pendidikan selain daripada kestabilan politik, ekonomi, kebudayaan dan sistem nilai mayarakat. Tanpa Pendidikan yang sempurna dan mantap, akan terhasillah bentuk Pendidikan yang pelbagai corak serta tidak sempurna sifatnya. Oleh yang demikian, negara akan mengalami pelbagai masalah termasuk masalah perpaduan dan pembangunan. Oleh itu, dengan wujudnya akta Pendidikan 1996 ini merupakan panduan untuk negara dalam menyatukan kepelbagaian bentuk dan corak Pendidikan yang seimbang kepada semua masyarakat.

 

 

 

 

 Oleh: NATASYA NASHWA BINTI RIZAM

PERANAN AKTA PENDIDIKAN 1996 TERHADAP PERKEMBANGAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA

 

PENDAHULUAN

Sebelum British menjajah di Tanah Melayu, pendidikan tidak dititip beratkan dalam perkembangan anak-anak di Tanah Melayu. Namun begitu, bukan bermaksud pendidikan tidak diajarkan kepada anak-anak tetapi pendidikan berlangsung secara tradisional dalam institusi keluarga dan masyarakat. Pendidikan pada zaman itu berlangsung secara tidak formal kerana ilmu yang diwarisi daripada nenek moyang diajarkan kepada satu generasi ke satu generasi. Hal ini menunjukkan pendidikan pada masa itu bercorak warisan turun temurun. Pendidikan ini melibatkan perkara-perkara asas seperti adat resam, budaya, warisan dan juga ajaran Islam supaya generasi mereka menjadi seseorang yang baik dalam keluarga mahu pun dalam masyarakat. Masyarakat dahulu menganggap ibu bapa memainkan peranan utama sebagai pendidik kerana mereka perlu mendidik anak-anak mereka dengan perkara-perkara yang berkaitan budaya dan warisan. Bagi mereka, anak-anak tidak kira lelaki mahupun perempuan dididik dengan ketertiban, nilai, budi bahasa serta adab sopan yang diwarisi daripada nenek moyang. Antara contoh perkara yang diajarkan kepada anak-anak mereka ialah setiap individu perlu menghormati orang lain terutamanya ibu bapa dan orang yang lebih tua daripada mereka. Golongan muda pada masa itu juga perlu sentiasa menjaga pertuturan kata dan perbuatan di hadapan orang tua sebagai lambang hormat kepada mereka yang lebih tua. Oleh itu, mereka yang dibesarkan dengan cara tradisional lebih bertatasusila dan penuh dengan nilai kesopanan dalam diri.

 

PERANAN AKTA PENDIDIKAN 1996

Sebelum tahun 1996, undang-undang pendidikan di Malaysia adalah tertakluk kepada terma dan syarat yang didapati dalam Akta Pelajaran 1961. Akta Pelajaran 1961 menegaskan bahawa matlamat utama Dasar Pendidikan Kebangsaan Pada masa itu adalah untuk menubuhkan satu Sistem Pendidikan Kebangsaan yang boleh memenuhi keperluan negara dan menggalakkan pembangunan ekonomi, sosio-budaya serta politik. Namun begitu, menjelang abad ke-21, era digital dan teknologi maklumat telah berkembang pesat dan meluas. Bidang pendidikan juga telah berubah tumpuan kepada pendidikan yang diselaraskan kepada teknologi dan orientasi pengeluaran serta pasaran. Selaras dengan perekembangan ini, Akta Pendidikan 1996 telah diselaraskan dengan tujuannya adalah untuk menyelaraskan dengan aspirasi menghasilkan satu sistem pendidikan yang seragam dan berteraskan prinsip pendemokrasian serta berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Oleh itu, terdapat beberapa peranan Akta Pendidikan 1996 terhadap perkembangan pendidikan di Malaysia.

            Akta Pendidikan 1996 diperkenalkan untuk memperbaiki kelemahan yang terdapat dalam penyata pendidikan sebelum ini. Dalam erti kata mudah, Akta Pendidikan 1996 sebagai garis panduan  atau rujukan bagi pelaksanaan pendidikan. Dalam akta ini, terdapat beberapa perkara yang diutamakan atau digariskan. Antara salah satu perkara yang digariskan ialah akta ini mengutamakan ilmu pengetahuan kerana ilmu pengetahuan adalah penentu utama arah tujuan negara dan penyelamat bangsa. Hal ini dikatakan demikian kerana melalui akta ini dapat memantapkan sistem pendidikan kebangsaan bagi generasi muda sejajar dengan perubahan masa. Perkara ini seterusnya dapat menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan bermutu tinggi antara negara dan seiring dengan negara maju lain. Akta ini juga menggariskan perundangan berkaitan bidang pendidikan seperti tatatertib dan etika guru semasa menjalankan tugas.

            Selain itu, Akta Pendidikan 1961 merupakan peraturan yang perlu dipatuhi. Hal ini dikatakan demikian kerana banyak peraturan yang telah ditetapkan dan wajib diikuti oleh pihak-pihak yang berkenaan seperti Kementerian Pelajaran Malaysia. Terdapat peraturan yang perlu diikuti oleh kakitangan guru dan penjawat awam sekolah bagi menjaga dan memastikan keamanan dan keharmonian institusi sekolah. Perkara ini bertujuan untuk mengelakkan kakitangan guru dan sekolah menunjukkan contoh yang tidak baik kepada pelajar kerana mereka mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang negatif.  Etika pakaian dan tatatertib guru juga sangat dititik beratkan kerana hal ini mencerminkan diri mereka sebagai pendidik. Contoh lain, peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib 1993; Pindaan 2002). Peraturan ini penting untuk memastikan penjawat awam menjalankan tugas dengan lebih cekap dan amanah serta bertanggungjawab.

            Peranan lain Akta Pendidikan 1961 adalah untuk menjadikan sistem pendidikan lebih sistematik. Dalam Akta Pendidikan 1996, konsep sistem pendidikan kebangsaan dimantapkan dengan meliputi semua peringkat persekolahan dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat pendidikan tinggi dan meliputi semua kategori sekolah. Antaranya ialah sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah swasta. Sistem pendidikan ini diaplikasikan dan dimantapkan dalam semua peringkat sekolah sama ada sekolah kerajaan atau sekolah swasta. Tidak ketinggalan sekolah Pendidikan Khas juga diberikan tumpuan yang khusus bagi pelajar yang kurang upaya untuk menuntut ilmu di sekolah sesuai dengan kekurangan mereka. Sistem ini dikatakan sistem yang sistematik kerana mengambil kira kepentingan semua kaum tanpa mengira kaum Melayu, Cina dan India. Oleh itu, pendidikan akan lebih berkualiti dalam memperkembangkan potensi individu sepenuhnya.

            Di samping itu, Akta Pendidikan 1996 melestarikan pendidikan di Malaysia supaya menjadi lebih baik. Hal ini dikatakan demikian kerana kurikulum yang dilaksanakan di sekolah mengupayakan murid menguasai pelbagai kemahiran seperti melestarikan pendidikan yang meliputi pendidikan teknik. Walau bagaimanapun, pendidikan khas tidak dipandang enteng oleh pihak kementerian serta pendidikan ini diambil berat dalam sistem pendidikan di Malaysia. Melalui akta ini, murid yang berdaya fikir lestari dapat dilahirkan serta mereka akan bersikap responsif terhadap persekitaran dalam kehidupan harian. Murid dapat mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang diperoleh. Hal ini juga dapat mempersiapkan murid menghadapi cabaran dan isu semasa di peringkat tempatan, negara dan antarabangsa.

            Akta Pendidikan 1996 berperanan sebagai kesakmaan peluang pendidikan kepada masyarakat dalam perkembangan pendidikan di Malaysia. Setiap warganegara Malaysia berhak mendapat peluang pendidikan yang adil dan sama rata tanpa mengira kaum dan budaya. Tiada istilah diskriminasi dalam sistem pendidikan atau membandingkan antara pelajar. Dalam konteks ini, semua pelajar adalah sama kerana pelajar merupakan insan yang seharusnya dididik dengan penuh kasih sayang tanpa mengira latar belakang mereka. Selain itu, peluang untuk belajar juga diberikan kepada semua golongan rakyat tanpa mengira latar belakang atau pun kedudukan mereka sama ada di bandar ataupun luar bandar.

            Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh bahawa peranan pihak kerajaan sangat penting di samping peranan pihak lain seperti sekolah, ibu bapa dan swasta. Hal ini dikatakan demikian kerana peranan pihak kerajaan sangat penting bagi memastikan sistem pendidikan di Malaysia mempunyai kualiti selaras dengan kemajuan yang diperolehi negara pada masa kini. Melalui Akta Pendidikan 1996 ini, sisitem pendidikan di Malaysia kini mengalami pengurusan yang sangat sempurna dan mampu meningkatkan kualiti pembelajaran para pelajar. Akta Pendidikan 1996 ini menjadi asas kepada Sistem Pendidikan Kebangsaan serta merupakan landasan kepada Akta Pendidikan sekali gus sebagai Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

 

Oleh: NUR' AFINI BINTI SANUSI

Implikasi Akta Pendidikan 1996 Terhadap Perkembangan Pendidikan Di Malaysia.


Kesan Positif

      Implikasi positif Akta Pendidikan 1996 terhadap perkembangan Pendidikan di Malaysia ialah berlaku perluasan sistem Pendidikan swasta terutamaya di peringkat tinggi. Pendidikan swasta ditubuhkan bagi menampung bilangan pelajar yang layak menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi dan dapat kurangkan aliran wang keluar. Antara contoh pendidikan swasta yang ditubuhkan ialah Universiti Multimedia dan Universiti Teknologi Petronas yang memberi peluang kepada rakyat untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai peringkat. Pendidikan ini terus berkembang secara sistematik dengan memperuntukan wang yang spesifik. Hal ini bertujuan untuk membantu melahirkan insan yang berilmu dan berupaya memajukan kehidupan yang memenuhi aspirasi negara.

    Seterusnya, pendidikan khas mula diberi perhatian juga adalah implikasi positif Akta Pendidikan 1996 terhadap perkembangan pendidikan di Malaysia. Pendidikan khas diberi tumpuan bagi membantu meningkatkan potensi diri, keyakinan diri, kemahiran diri dan keupayaan untuk berdikari dalam kalangan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dengan memberi peruntukkan khas kepada golongan ini. Bukan itu sahaja, Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah mengambil langkah cekap untuk menyediakan sekolah yang sesuai dengan masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut seperti Sekolah Pendidikan Khas dan Pendidikan Inklusif. Dengan adanya pendidikan khas ini turut membantu mengeratkan hubungan dan komunikasi antara kaum Melayu, Cina, India dan bumiputra lain.

    Selain itu, pihak kementerian pendidikan Malaysia turut mewujudkan Pendidikan prasekolah awal kanak-kanak bagi warganegara yang berumur enam tahun. Pada tahun 2003, kurikulum Prasekolah Kebangsaan telah diperkenalkan dan telah ditukar kepada Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK). Pendidikan ini diwajibkan menggunakan garis panduan kurikulum prasekolah yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan. Kementerian Pendidikan Malaysia telah memperkukuhkan pemantauan dan penguatkuasaan untuk memastikan pendidikan ini berjalan dengan lancar, memelihara hak asasi kanak-kanak dan meningkatkan kemahiran kanak-kanak seperti membaca, mengira dan menulis serta menanam nilai positif dalam diri mereka. Antara Pendidikan prasekolah yang mendapat pengiktirafan KPM ialah KEMAS, PASTI dan PERMATA.

   Disamping itu, implikasi positif Akta Pendidikan 1996 terhadap perkembangan pendidikan di Malaysia menyebabkan pendidikan teknik dipertingkatkan. Pihak kerajaan tertumpu kepada meningkatkan kemahiran dan praktikal dengan membolehkan politeknik mengadakan program dengan kerjasama mana-mana institusi, perbadanan dan organisasi perindustrian. Mengadakan program berkembar kursus peringkat diploma dan ijazah dengan institusi-institusi pendidikan tinggi sama ada di dalam dan luar negara serta lebih cenderung kepada pendidikan sains dan teknologi bagi memenuhi tenaga kerja dalam industri.


Kesan Negatif

  Menjadikan pendidikan sebagai suatu perniagaan ialah implikasi negatif Akta Pendidikan 1996 terhadap perkembangan pendidikan di Malaysia. Pihak swasta yang telah menjadikan pendidikan sebagai perniagaan dengan melabur untuk mendapat keuntungan dengan mengenakan bayaran tinggi kepada ibu bapa yang hendak mendaftar anak mereka. Sebagai contoh, mengenakan yuran pendaftaran sebanyak RM1,000 hingga RM 2,000 manakala yuran IPTS mengenakan RM 50,000 hingga RM200,000. Dengan jumlah yuran yang telah ditetapkan dapat disumpulkan bahawa pihak ini menjadikan pendidikan sebagai perniagaan untuk memperoleh keuntungan. Oleh itu, pihak kerajaan perlu mengenakan kawalan yuran di institusi pendidikan swasta, memperluaskan pendidikan percuma dan menubuhkan banyak bangunan wakaf agar semua golongan berhak pendapat pendidikan.

    Selain itu, menyukarkan pembentukan bangsa Malaysia juga adalah implikasi positif Akta Pendidikan 1996 terhadap perkembangan pendidikan di Malaysia. Hal ini demikian kerana, penggunaan bahasa inggeris dan bahasa ibunda semakin banyak digunakan dalam kalangan masyarakat sehingga meminggirkan martabat bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu. Keadaan ini menyebabkan bangsa Malaysia sukar untuk dibentuk di negara ini. Oleh itu, pihak kerajaan perlu menguatkuasakan lagi penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang digunakan dalam urusan rasmi dan memperkenalkan subjek silang budaya. Hal ini bertujuan untuk memartabatkan Bahasa Melayu agar terus berkembang di mata dunia.

   Tambahan pula, implikasi negatif Akta Pendidikan 1996 terhadap perkembangan pendidikan di Malaysia menyebabkan penswastaan pendidikan berlaku. Pendidikan bukan lagi sepenuhnya di bawah kerajaan kecuali sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan. Keadaan ini juga menyebabkan standard kurikulum di Malaysia tidak sama dan taraf pendidikan juga berbeza serta pelajar menduduki jenis peperiksaan berbeza. Sebagai contoh,penubuhan tadika swasta, sekolah swasta, sekolah antarabangsaa, pusat latihan kemahiran swasta, kolej swasta dan Institusi Pendidikan tinggi swasta(IPTS). Dengan itu, pihak kerajaan telah membuat kawalan terhadap institusi swasta dan memperluaskan peranan kerajaan dan majikan untuk membangunkan pendidikan percuma.

     Akhir sekali, berlaku pengangguran dalam kalangan masyarakat. Pengangguran tinggi disebabkan persaingan yang sengit antara pelajar yang mendapat pendidikan. Pihak kerajaan perlu memperbanyakkan program pendidikan yang menawarkan kursus pragraduan dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan. Bukan itu sahaja, penggunaan bahasa asing semakin berluasan kerana sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat mengekalkan penggunaan bahasa asing dalam sistem pembelajaran mereka. Bagi mengatasi perkara ini, KPM telah mewajibkan Bahasa Melayu sebagai satu mata pelajaran yang perlu dipelajari di semua pusat pendidikan swasta.



Oleh: NIK NUR SALSHADILLA SABRINA BINTI MAHADI

CABARAN-CABARAN PELAKSANAAN AKTA PENDIDIKAN 1996

 


        Sebelum tahun 1996, undang-undang Pendidikan di Malaysia adalah tertakluk kepada terma dan syarat yang didapati dalam Akta Pelajaran 1961.  Prinsip umum Akta Pelajaran 1961 adalah selaras dengan Ordinan Pelajaran 1957 dimana akta tersebut digunakan untuk menyediakan perkhidmatan Pendidikan yang cekap.  Pada masa yang sama, pertimbangan juga diberi kepada kehendak ibu bapa semasa akta tersebut dilaksanakan dengan berkesan.  Menjelang abad ke-21, era digital dan teknologi matlumat telah berkembang pesat dan meluas dengan menyaksikan bidang tumpuan utama Pendidikan perlu diselaraskan kepada teknologi dan orientasi pengeluaran serta pasaran.  Oleh itu, terhasilnya Akta Pendidikan 1996 yang juga dikenali sebagai Akta 550.  Matlamatnya ialah untuk membantu mewujudkan satu sistem pendidikan negara yang baru dan boleh menghadapi cabaran baru dan boleh menghadapi cabaran alaf baru.  Namun begitu, terdapat beberapa cabaran dalam pelaksanaan Akta Pendidikan 1996.

        Antara cabaran pelaksanaan Akta Pendidikan 1996 ialah cabaran pengurusan sumber manusia.  Hal ini dikatakan demikian kerana berlakunya isu ketidakseimbangan jantina dalam pencapaian akademik.  Sebagai contoh, kita dapat saksikan bahawa kemasukan pelajaran perempuan ke IPT lebih ramai berbanding lelaki.  Kesannya, pelajar perempuan di IPT lebih dominan berbanding lelaki.  Keadaan ini menyebabkan sumber manusia bagi kaum lelaki semakin berkurang.  Selain itu, tekanan belajar atau stress daripada belia dalam belajar menjadi isu utama.  Tekanan yang dihadapi tidak mampu ditanggung menyebabkan mereka mengalah dalam pembelajaran dan yang lebih teruk sehingga ke tahap membunuh diri akibat tekanan dan stress.  Oleh itu, langkah yang boleh diambil untuk mengatasi cabaran pengurusan sumber ini ialah kerajaan seharusnya menyemak semula kurikulum kearah lebih mencabar keupayaan pelajar lelaki untuk menggalakkan kemasukan golongan lelaki di IPT seiring dengan golongan perempuan.

        Seterusnya, perubahan minda rakyat Malaysia juga merupakan antara cabaran pelaksanaan Akta Pendidikan 1996.  Hal ini disebabkan oleh rakyat masih mengharapkan pendidikan sebagai alat untuk mendapatkan pekerjaan dan jawatan.  Namun begitu, pendidikan masih tidak dapat mengeluarkan graduan berdikari yang mencipta peluang pekerjaan.  Sedangkan kini graduan dihinggapi penyakit "diploma desease" iaitu pengangguran dalam kalangan graduan yang masih tinggi iaitu sekitar 204,000 orang.  Kes jenayah dan masalah sosial juga kian meningkat akibat lambakan pengangguran ini.  Oleh itu, penekanan dalam aspek pembinaan insan melalui penerapan nilai murni dan pemahaman konsep keagamaan dalam diri generasi muda supaya mencapai matlamat adalah langkah yang boleh diambil oleh pihak kerajaan untuk mengatasi cabaran dalam pelaksaan Akta Pendidikan 1996. 

        Selain itu, antara cabaran yang dihadapi oleh kerajaan dalam melaksanakan Akta Pendidikan 1996 di Malaysia ialah cabaran sumber kewangan.  Walaupun pendidikan penerima terbesar peruntukan terbesar (18-22%) setiap tahun namun masih kecil untuk menjadikan pendidikan maju dan kondusif.  Hal ini dikatakan demikian kerana prasarana pendidikan di Malaysia tidak mampu menanggung jumlah pelajar yang ramai.  Sebagai contoh, saiz murid per kelas masih besar iaitu sekitar 30-40 orang menyebabkan prasarana dan teknologi pembelajaran tidak mencukupi.  Oleh itu, kerajaan perlu menyediakan peruntukan yang lebih besar dalam belanjawan tahunan supaya cabaran sumber kewangan bagi pendidikan dapat diatasi.

        Di samping itu, Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar juga merupakan antara cabaran dalam melaksanakan Akta Pendidikan 1996.  Hal ini disebabkan oleh Bahasa Melayu masih tidak dimartabatkan dalam pendidikan sebagai bahasa pengantar utama disemua insitutsi Pendidikan di Malaysia.  Bahasa Melayu juga tidak dijadikan bahasa rasmi dalam urusan pentadbiran sedangkan Bahasa Melayu merupakan bahasa Kebangsaan di Malaysia yang seharusnya dikuasai dan digunakan dalam urusan seharian serta urusan rasmi negara.  Oleh hal demikian, kerajaan hendaklah menguatkuasakan undang-undang supaya individu yang menjatuhkan martabat Bahasa Melayu akan menerima hukuman dan denda yang sewajarnya.  Pihak kerajaan juga hendaklah mewajibkan semua rakyat Malaysia merujuk DBP dalam urusan menentukan istilah yang tepat agar Bahasa Melayu dapat dimartbatkan sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa pengantar di Malaysia.

        Seterusnya, cabaran dari segi isu perpaduan kaum.  Kita telah sedia maklum bahawa salah satu tujuan Akta Pendidikan adalah untuk penyatuan kaum melalui Pendidikan.  Namun begitu, masih wujud tanda-tanda kelemahan dalam hubungan antara kaum kerana pengekalan identity kaum masing-masing seperti bahasa, budaya, ekonomi dan politik.  Kesannya, berlaku ketidaksamarataan antara sesebuah kaum tersebut lalu menyebabkan perpaduan sukar dipupuk.  Oleh itu, langkah yang boleh diambil bagi mengatasi cabaran isu perpaduan kau mini adalah dengan memperkenalkan kurikulum keinsanan yang dapat memberi kesedaran kepada semua individu tentang isu perkauman dan perpaduan.  Selain itu, sistem pendidikam seharusnya menerapkan mata pelajaran pelbagai budaya agar ianya tidak asing bagi mana-mana kaum dan seterusnya menghapuskan monopoli sesuatu kaum.

        Cabaran yang terakhir dalam pelaksanaan Akta Pendidikan 1996 di Malaysia ialah cabaran menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan bertaraf dunia.  Hal ini demikian kerana Malaysia masih tercari-cari formula untuk meningkatkan kedudukan dalam TIMSS, PISA, dan ranking universiti.  Oleh itu, kerajaan masih lagi menghantar pelajar-pelajar keluar negara bagi mendapatkan ilmu di negara yang hebat dari segi pendidikan supaya ilmu yang dipelajari tersebut dapat diadaptasi ke dalam sistem Pendidikan di Malaysia.  Selain itu, Malaysia gagal menarik pelajar cemerlang dari negara maju untuk belajar di Malaysia bagi tujuan pertukaran idea dari aspek pendidikan.  Oleh itu, Malaysia kini cuba melihat negara maju sebagai acuan untuk membangunkan pendidikan negara.  Dengan itu, kerajaan mestilah menyemak dan menggubal kurikulum atau program Pendidikan yang dijalankan.  Seterusnya kerajaan hendaklah memaksimumkan kepakaran rakyat Malaysia ke dalam bidang Pendidikan dengan paksikan kepada keunikan masyarakat dan ekonomi negara Malaysia.

        Kesimpulannya, terdapat beberapa cabaran dalam pelaksanaan Akta Pendidikan 1996 di Malaysia namun ianya bukanlah pengahalang bagi Akta Pendidikan 1996 untuk terus dilaksanakan demi mencapai matlamatnya.  Bagi merealisasikan akta pendidikan ini, tindakan kerajaan adalah amat penting untuk mengatasi cabaran yang dihadapi oleh Malaysia.  Sebagai rakyat Malaysia, kita semua perlulah berganding bahu dalam memastikan Akta Pendidikan 1996 dapat dilaksanakan dengan sempurna.  Oleh itu, saya amat yakin dan percaya bahawa Akta Pendidikan 1996 akan berjaya menemui visi dan misinya mengikut yang dirancang.