Tuesday, 21 December 2021

 Oleh: NURUL NAJIHAH BINTI JEFRI

Fungsi Akta Pendidikan 1996 dan Kesesuaian Pendidikan Abad-21


Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada anda semua
                                                                                                                                        

Apa itu Akta Pendidikan 1996? Sejak bila pula ditubuhkan? Apa pula fungsi akta ini?

Sama ke dengan Akta Pendidikan yang lain?

 Ayuh, kita telusurinya dengan lebih lanjut.

 

AKTA PENDIDIKAN 1996

Ø  Telah berkuatkuasa mulai 31 Disember 1997

Ø  Untuk memperluas skop dan memperkenalkan perundangan mengenai pendidikan

Ø  Mengekalkan peruntukan yang masih relevan daripada akta pelajaran 1961

Ø  Untuk memantapkan sistem pendidikan kebangsaan

Ø  Lanjutan dan pembaharuan daripada Akta Pelajaran 1991

Ø  Untuk mengadakan peruntukan bagi pendidikan dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya

Ø  Menampilkan kesinambungan daripada hasrat dan dasar pendidikan yang sedia ada

Ø  Berpaksikan kepada perakuan-perakuan utama Penyata Razak

 

Akta Pendidikan 1996 ialah pembaharuan daripada Akta Pelajaran 1961. Akta Pendidikan 1996 ini bertujuan untuk memantapkan sistem Pendidikan Kebangsaan untuk generasi akan datang. Hal ini sangat relevan dan sejajar dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan yang bermutu tinggi, bertaraf dunia dan mampu bersaing. Akta ini juga merupakan salah satu perundangan yang baru tetapi Akta pendidikan ini menunjukkan kesinambungan kepada dasar pendidikan yang telah tersedia ada. Akta pendidikan 1996 ini juga berpandukan kepada perakuan-perakuan utama Penyata Razak 1956 yang telah menjadi asas terhadap dasar Pendidikan Kebangsaan selama ini. Akta ini juga sedikit sebanyak mengekalkan peruntukan yang masih sesuai digunakan daripada Akta Pelajar 1961. Penggubalan undang-undang (Akta Pendidikan 1996) bertujuan untuk memperluas skop dan memperkenalkan perundangan mengenai pendidikan. Oleh hal yang demikian Akta ini memperkenalkan banyak peruntukan perundangan baru untuk menangani cabaran-cabaran pendidikan abad ke 21 dalam memenuhi hasrat wawasan 2020 dan mengambil kira aspirasi semua kaum di Malaysia yang tidak mengira bangsa, keturunan, dan agama. Persoalannya apakah fungsi Akta Pendidikan 1996 dan kesesuaian pendidikan abad ke-21?

Menekankan penggunaan sains dan teknologi dalam pendidikan merupakan fungsi Akta Pendidikan 1996. Hal ini dikatakan demikian kerana penggunaan ICT sejajar dengan pendidikan pada abad ke-21. Penggunaan ICT dikatakan sangat membantu kalangan pelajar mahupun guru. Seperti mana yang kita sedia maklum bahawa dunia sekarang sangat bergantung terhadap penggunaan ICT untuk mempercepatkan segala urusan, memudahkan komunikasi dan mencari segala maklumat yang diinginkan. Jadi, hal ini sangat bersesuaian dalam bidang pendidikan sekarang yang memerlukan untuk diselaraskan kepada teknologi. Tambahan pula penekanan ini juga merupakan suatu strategi pendidikan negara yang baru dikehendaki untuuk melengkapkan individu dengan pengetahuan. Apabila seseorang individu itu terbiasa dengan kemahiran menggunakan ICT maka dapat melengkapkan diri dengan kemahiran menghadapi cabaran baru seperti lebuh raya maklumat, pengaruh ruang siber, penyalahgunaan internet dan sebagainya. Selain itu, sejajar dengan penumpuan terhadap usaha membudayakan Pendidikan sains dan teknologi, Pendidikan Teknik akan ditingkatkan di sekolah menengah Teknik dan Politeknik. Oleh itu, Akta Pendidikan 1996 memudahkan sekolah vokasional ditukar taraf kepada sekolah Teknik, manakala politeknik boleh mengadakan program kerjasama dengan mana-mana institusi, perbadanan atau organisasi perindustrian untuk mengendalika kursus Teknik, Vokasional atau program latihan termasuk program pertukangan. Jelaslah bahawa matlmatnya ialah membantu mewujudkan satu sistem pendidikan negara yang baru dan boleh menghadapi pendidikan alaf baru yang dapat berubah ke arah yang lebih progresif.

Selain itu, memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan merupakan fungsi Akta Pendidikan 1996. Hal ini dikatakan demikian kerana kedudukan bahasa Melayu diperkukuhkan dengan peruntukannya sebagai Bahasa Pengantar utama dalam sistem Pendidikan Kebangsaan dan mata pelajaran teras. Bahasa Melayu juga telah menjadi mata pelajaran yang wajib lulus dalam mana-mana peperiksaan sekarang ini terutamanya dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Perkara ini juga sesuai dengan Pendidikan abad ke-21 kerana bahasa Kebangsaan iaitu bahasa Melayu digunakan di setiap sekolah dan dijadikan sebagai bahasa pengantar sebagai contoh semua sekolah kebangsaan di Malaysia menggunakan bahasa pengantar dengan sekolah-sekolah yang lain. Istimewanya pula ialah setiap sekolah mewajibkan bahasa Melayu sebagai mata pelajaran wajib diajar di semua sekolah dan institusi Pendidikan di Malaysia. Hal ini bertujuan agar pelajar Malaysia yang berbilang kaum dapat menguasai bahasa Melayu dan boleh bertutur dalam bahasa Melayu yang jelas dan tepat serta difahami ramai. Walau bagaimanapun Seksyen 17 (2) juga telah memperuntukkan bahasa Kebangsaan ini menjadi sebagai mata pelajaran wajib bagi setiap sekolah di Malaysia. Jelaslah bahawa Akta Pendidikan 1996 mengekalkan mutu dan keistimewaan penggunaan bahasa Melayu dan menyelaraskannya dalam pendidikan abad ke-21.

            Seterusnya, Akta Pendidikan 1996 juga berfungsi dalam mengadakan kurikulum kebangsaan dan sistem peperiksaan yang sama. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam Seksyen 18, Kurikulum semua jenis dan kategori sekolah akan selaras dengan kehendak negara apabila kurikulum kebangsaan yang diperuntukkan dalam  Akta Pendidikan 1996 ini wajib digunakan oleh semua pihak. Sebagai contohnya ialah murid-murid dari semua jenis dan kategori sekolah akan disediakan untuk mengambil peperiksaan yang ditetapkan oleh kerajaan dan hal ini akan memudahkan kita menggunakan penilaian atau pengukuran yang sama tentang pencapaian murid-murid dari semua sekolah di negara kita. Perkara ini juga secara tak langsung dapat mengelakkan daripada penilaian terhadap murid yang tidak adil dalam peperiksaan yang penting seperti peperiksaan SPM dan dari sinilah kita dapat menilai gred dalam sesebuah sekolah itu. Tambahan pula dapat menimbulkan semangat persaingan yang baik dalam seluruh sekolah di Malaysia dan akan menjadikan sesebuah sekolah itu akan cuba meningkatkan prestasi dan keupayaan dalam mencapai kejayaan yang maksimum. Jelaslah bahawa Akta Pendidikan 1996 ini sangat relevan dengan pendidikan abad 21 yang dimana peperiksaan itu perlu adil dan perlu diselaraskan untuk meningkatkan persaingan yang hebat dalam bidang pendidikan.

Akhir sekali, Akta Pendidikan 1996 juga berfungsi dalam menyatupadukan perpaduan kaum di Malaysia. Hal ini kerana Pendidikan di Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum iaitu kaum Melayu, Cina dan India. Perkara ini sejajar dengan abad ke 21 iaitu dimana tujuan utama Akta Pendidikan 1996 adalah untuk menyatupadukan kaum melalui pendidikan. Sebagai contohnya Akta ini telah memperkenalkan kokurikulum keinsanan, menerapkan mata pelajaran yang melibatkan pelbagai budaya di semua sekolah dan menghapuskan monopoli sesuatu kaum. Seterusnya Akta ini menyadari bahawa Malaysia ada sebuah negara yang berbilang kaum dan Akta Pendidikan 1996 ini juga telah mengambil kira kepentingan semua kaum dengan cara mengekalkan status quo sekolah rendah dan juga 60 buah sekolah menengah. Hal ini bermaksud setiap warganegara Malaysia berhak mendapat peluang pendidikan yang adil dan sama rata iaitu tanpa mengira kaum dan budaya. Tambahan pula peluang untuk belajar juga diberikan kepada semua golongan rakyat tanpa mengira latar belakang sama ada mereka kaum Melayu ataupun tidak. Walau bagaimanapun terdapat juga sekolah jenis cina dan sekolah jenis tamil yang menerima pelajar yang berkaum Melayu untuk mendapatkan pendidikan di sekolah mereka. Jelaslah bahawa fungsi Akta Pendidikan 1996 ini relevan dan sesuai dengan pendidikan atau pembelajaran abad 21 yang menginginkan semua rakyat perlu bersatu padu dalam pendidikan mahupun di luar bidang berkenaan agar sama-sama dapat menjalinkan hubungan yang erat dan sekali gus mengelakkan daripada bersifat rasis.

Kesimpulannya, kemajuan sesebuah negara bergantung kepada sistem Pendidikan selain daripada kestabilan politik, ekonomi, kebudayaan dan sistem nilai mayarakat. Tanpa Pendidikan yang sempurna dan mantap, akan terhasillah bentuk Pendidikan yang pelbagai corak serta tidak sempurna sifatnya. Oleh yang demikian, negara akan mengalami pelbagai masalah termasuk masalah perpaduan dan pembangunan. Oleh itu, dengan wujudnya akta Pendidikan 1996 ini merupakan panduan untuk negara dalam menyatukan kepelbagaian bentuk dan corak Pendidikan yang seimbang kepada semua masyarakat.

 

 

 

 

No comments:

Post a Comment